Tuesday, November 4, 2008

Punca dan Cara-cara Mengatasi Lumba Haram




Pembabitan remaja dalam kegiatan lumba haram bukanlah satu isu
luar biasa dalam masyarakat kita hari ini. Oleh sebab desakan naluri remaja
yang suka mencuba dan tidak takut pada risiko yang bakal ditempuh, mereka
berani melakukan apa-apa sahaja. Mereka ini mudah berasa seronok dan
ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media. Pengaruh rakan sebaya
banyak memainkan peranan dalam menentukan pemilihan aktiviti yang
gemar dilakukan oleh kelompok remaja ini. Remaja akan mengikuti apa-apa
yang dilakukan oleh kawan-kawan mereka.

Selain itu, cara hidup remaja itu sendiri juga mendorong gejala ini
berlaku. Kebanyakan remaja berpendidikan rendah lebih cenderung
melibatkan diri dalam kancah lumba haram ini. Pergaulan mereka hanya
terdedah kepada kelompok yang sama dan memiliki tahap pemikiran yang
sama apatah lagi sekiranya masing-masing sentiasa memberikan galakan dan
semangat berbaur negative antara satu sama lain. Mereka bangga dan
seronok dengan pujian serta cuba menarik perhatian orang lain.

Keseronokan dan kepuasan merupakan tujuan utama dalam diri mereka.
Ada kalanya, faktor kurangnya kasih sayang dan perhatian turut
mempengaruhi tindakan serta sikap remaja. Apabila berasa bosan, mereka
mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar rumah bersama-
sama rakan sebaya yang lain. Tempat tinggal yang kurang selesa dan sempit
turut mempengaruhi minda dan emosi golongan ini. Lebih-lebih lagi apabila
ibu bapa asyik meleter sekiranya mereka berada di rumah.

Ibu bapa harus sedar bahawa perhatian yang secukupnya perlu diberi
kepada anak-anak agar mereka berasa diri mereka dihargai. Selain itu,
sayangilah mereka bagai menatang minyak yang penuh agar mereka berasa
diri mereka dikasihi. Luangkan masa untuk berbual bersama anak-anak,
mendengar luahan serta rintihan hati mereka. Penguatkuasaan undang-
undang memang perlu dalam usaha menangani gejala ini daripada terus
berlarutan. Jangan biarkan mereka berasa lali dan tidak kisah dengan
hukuman yang bakal dikenakan kepada mereka.

Motivasi dan kaunseling diperlukan untuk membantu membendung
masalah sosial ini. Kita jangan terlalu memberi tekanan kepada mereka
kerana zaman remaja memang penuh dengan tekanan dan gelosa. Mereka
sentiasa inginkan perhatian di samping pengiktirafan golongan dewasa.
Berinteraksilah secara matang dengan golongan remaja sebegini agar
mereka tidak berasakan diri mereka diperlakukan seperti budak kecil.
Kesimpulannya, kita jangan terlalu menuding jari terhadap golongan
remaja. Sebaliknya, sebagai individu dewasa, kita perlu membantu golongan
ini secara lebih rasional dan matang.




JANGAN KITA BIARKAN NYAWA BELIA KITA YANG CERDIK PANDAI TERGADAI.

No comments:

Post a Comment